Thursday 2 December 2010

SELAMAT TAHUN BARU 1432 HIJRAH

Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432 bukan setakat menyingkap peristiwa hijrah nabi Muhammad s.a.w. juga bukan sekadar mendengar cerita hijrah dan berlalu begitu sahaja.

Perlu dikaji, disingkap dan diambil pengajaran dari sirah Rasulullah.

1. Bagaimana Abu Bakar (r.a.) akur dengan ajakan Rasulullah untuk menemani beliau berhijrah tanpa berdolak dalih.
2. Peranan Ali bin Abi Talib (r.a.) menggantikan beliau di tempat tidur yang amat berisiko bahaya.
3. Pemilihan gua Thur sebagai tempat bersembunyi dan pemilihan laluan ke Madinah yang jarang digunakan oleh orang lain
4. Peranan Asma' membawa bekalan makanan semasa penyembunyian
5. Peranan penggembala kambing memadamkan bekas tapak kaki Asma'dan Abdullah

"Kalau kamu tak dapat menolongnya, maka Allah juga Yang telah menolongnya tatkala dia diusir oleh orang-orang kafir (Quraisy). Dia salah seorang dari dua orang itu, ketika keduanya berada dalam gua. Waktu itu ia berkata kepada temannya itu: 'Jangan bersedih hati, Tuhan bersama kita!' Maka Tuhan lalu memberikan ketenangan kepadanya dan dikuatkanNya dengan pasukan yang tidak kamu lihat. Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itu juga yang rendah dan kalam Allah itulah yang tinggi. Dan Allah Maha Kuasa dan Bijaksana." (Qur'an, 9: 40)

Apa yang lebih utama ialah kita menghidupkan semangat hijrah itu dalam diri kita; berhijrah daripada sifat-sifat yang kurang baik kepada sifat-sifat yang baik, dalam semua urusan kita:

Urusan kerjaya, urusan keluarga, urusan jamaah dan lebih utama urusan keimanan kita. Semoga kita terus meningkatkan amal dunia dan akhirat...



Untuk mengulangkaji sirah Nabi Muhammad s.a.w. sila ke sini

Friday 5 November 2010

PERISTIWA DI R&R TAPAH



Sebaik habis mesyuarat penyelarasan program NKRA di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut; aku berpeluang berjumpa kawan lama semasa belajar di sekolah menengah yang datang menjemput suaminya yang juga menghadiri mesyuarat yang sama denganku. 6 tahun kami bersama; belajar di sekolah yang sama dan tinggal di asrama yang sama. Memang akrab sekali persahabatan kami. Kami bersama 28 yang lain. Kami bertemu kembali pertama kali bertemu pada 22 Mei yang lalu, setelah 33 tahun berpisah.

Alhamdulillah, beliau dan suami sudi menumpangkan aku ke rumah anakku di Greenwood; dalam perjalanannya menghantar kakaknya ke Batu Cave.

Setelah duduk sebentar di rumah anak, aku bergerak ke Hiway Duke terus ke Hiway Plus ke utara, mendapat panduan arah dari menantuku . Berhenti seketika di R&R Tapah untuk rehat. Di situ berjumpa dengan beberapa orang pengetua yang juga dalam perjalanan pulang. Mereka berkursus di IAB Genting.

Sambil minum dan makan sandwich (dah kenyang makan di hotel tadi), datang seorang kanak-kanak sekolah berumur 10 tahun.

"Assalamualaikum makcik... minta sumbangan untuk sekolah kami, sekolah tahfiz..." Aku menjawab salam dan bertanyakan tentang sekolahnya dan mengapa tidak ke sekolah hari ini. Katanya , "Inilah aktiviti sekolah kami". Dalam hatiku berkata, mungkin ini adalah aktiviti selepas peperiksaan akhir tahun sekolah berkenaan. Aku terus bertanya anak ini sudah berapa juz anak ini menghafal Quran. Tiada jawapan yang pasti darinya... Lalu aku memintanya membaca surah Dhuha. Dapat dibacanya dengan lancar. Kemudian aku memintanya menbaca Surah An Naba'. Katanya boleh sikit-sikit. Dia terus membaca dengan agak baik sampai akhir surah, Alhamdulillah...

Aku terus bertanya tentang mata pelajaran lain dia belajar di sekolah; matematik, bahasa dan lain2? Tiba-tiba terkeluar soalan dari ku "6 kali 7 berapa?" diulang2nya 6 kali 7 beberapa kali tanpa memberi jawapan. Aku tukar kepada soalan yang lebih mudah "3 kali 6". Tidak dijawabnya juga. Lalu aku mengajarnya apa yang dimaksudkan dengan "3 kali 7" atau "3 darab 7" dengan melukiskan 3 bulatan besar dan dalam bulatan pertama ada 7 guli. Aku minta anak ini melengkapkan 2 bulatan yang lain dan seterusnya mengira kesemua guli yang ada dalam ketiga2 bulatan. Dia dapat mengira dengan betul. Aku terus menyoal" kalau 3 kali 6?" Aku minta anak ini membuat sepertimana yang aku ajar tadi.. Alhamdulillah dia dapat membuatnya dan memberikan jawapan.

Setelah memberikan sumbangan yang tak seberapa kepadanya dan berpesan untuk menyampaikan amanah sumbangan2 kepada ustaznya, aku pun meneruskan perjalananku..

Semoga apa yang ku ajar kepadanya akan diingat olehnya.....Cikgu, di mana2 pun cikgu....

Saturday 23 October 2010

RINDU


Sangat merindui waktu itu. Waktu kami meninggalkan segala urusan dunia, pasrahkan diri kepadaNya, menjadi tetamuNya. Siang, malam, pagi dan petang, tumpuan kepada mengerjakan amalan2 wajib, rukun dan sunat.

Pagi2 lagi kami berjalan menuju Masjidil Haram. Maktab kami agak jauh juga. Kata mereka (orang TH) orang muda tak per jauh sikit. Alhamdulillah... Pagi menunaikan solat-solat sunat, solat subuh, seterusnya bertilawah, merenung kaabah, tawaf sunat dan sebagainya. Terasa tenteram jiwa ketika itu. Mengimbas dosa2 lalu memohon keampunan dari Yang Maha Esa dengan titisan air mata. Bukan aku sorang, ku lihat kiri dan kanan, rupanya bakal-bakal hujjaj yang lain begitu juga.

Aku teringat pertama kali memandang kaabah, sungguh terharu sekali.. Kami tidak pernah mengerjakan umrah sebelum itu.

Setelah terasa lapar, kami keluar di sekitar masjid mencari makanan. Kadang2 kami balik ke maktab. Rehat sebentar, kemudian ke masjid semula. Hari-hari tertentu, kami keluar pagi-pagi, selepas subuh kami ke miqat untuk mengerjakan umrah.

Selepas tawaf dan saie, kami turun melihat telaga zam-zam. (Bahagian lelaki dan perempuan berasingan). Memang telaga dah tiada. Air zamzam disalurkan melalui paip. Sewaktu aku di bawah aku berjumpa seorang perempuan arab, yang seolah-olah mengajar aku untuk menyapukan air zamzam keseluruh badan sambil berdoa.

Semasa di sana, kami sempat bertemu beberapa orang ustaz yang juga mengerjakan haji. Suamiku tidak melepaskan peluang untuk mendapat maklumat2 tambahan tentang pekerjaan haji, dan sirah nabi dan sahabah.

Merindui waktu-waktu begitu....
Ya Allah Kau lapangkanlah masa kami agar dapat menjadi tetamuMu lagi.
Ya Allah sekiranya kami tidak dapat menjadi tetamu Mu, kurniakanlah kami waktu2 sebagaimana Kau kurniakan seperti kami di sana.

Friday 8 October 2010

NASIHAT DARI EMAK .....



Syawal telah berakhir. Semoga momentum amalan Ramadhan dapat kita teruskan. Bulan Zulkaedah ni, ramailah teman-teman dan saudara mara yang akan memulakan perjalanan menyahut panggilan kaabah. Sama-sama kita doakan urusan ibadah mereka dipermudahkan Allah dan Allah mengurniakan mereka haji yang mabrur.

Bila tiba musim begini, saya teringat pesanan emak tersayang tentang mengerjakan ibadah haji.

Ketika kami adik beradik berbual tentang rumah baru, kereta baru dan sebagainya, emak selalu memintas menasihati kami. "Masa muda cubalah rancang untuk pergi haji. Haji ni perlu guna banyak tenaga. Jangan tunggu dah tua baru nak pergi...dah tak larat nak buat kerja2 haji.."

Berbekalkan pesanan itulah, alhamdulillah saya dan suami dapat mengerjakannya pada umur 37 tahun. Dan adik-adik lain turut berusaha menunaikannya dalam usia muda.

Memang betul apa yang emak katakan. Tawaf, saie, melontar, wukuf di Arafah dan lain-lain memerlukan keupayaan fizikal yang baik dan kekuatan minda.

Persediaan fizikal dan minda sangat penting sebelum seseorang ke sana. Sekiranya dapat membaca sirah nabi dan sahabah, seseorang itu dapat lebih menghayati setiap rukun dan wajib haji; dan menghayati kisah-kisah di tempat-tempat tertentu di Mekah dan Madinah seterusnya akan memberikan kesan yang mendalam dalam diri masing-masing.

Kepada anak-anak muda, dan anak-anakku, mulalah mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji, kerana nanti terpaksa menunggu giliran entah berapa tahun lagi...

Terima kasih tak terhingga kepada emak yang tidak pernah jemu menasihati kami; kami panjangkan nasihat emak kepada anak-anak kami Insya Allah. Semoga emak dan bapa (arwah) diganjari Allah dengan pahala amalan jariah, aminnn...

Sunday 26 September 2010

FAMILY BONDING

Kebelakangan ini banyak insiden berlaku yang menunjukkan hubungan kekeluargaan yang longgar. Kes disiplin di sekolah juga menunjukkan ibu bapa hilang kawalan terhadap anak-anak mereka atau pun disebabkan krisis dalam rumah tangga.

Sebenarnya perhubungan erat ahli-ahli keluarga sangat penting bagi menjauhi perkara-perkara yang sedemikian berlaku.

Tidak salah ibu berkerjaya dan bapa sibuk dengan urusan kerja dan masyarakat sekiranya aspek-aspek hubungan kekeluargaan diambil berat.

Anak-anak yang berada di sekolah berasrama, di institusi pengajian tinggi di dalam atau di luar negeri, yang telah bekerja, mahu pun yang telah berkeluarga perlu dipantau oleh ibu dan bapa. Bagi anak yang telah berkeluarga, sekadar bertanya khabar dan berkongsi apa yang perlu. Tidak perlu mendalam kerana kita sepatutnya memberi kepercayaan kepada mereka mengurus keluarga masing-masing.

Untuk membina "family bonding" ini, saya ingin berkongsi apa yang saya jumpa ketika saya melayari internet.

15 TIPS FOR FAMILY BONDING

1. Whenever possible, eat meals together, especially dinner. Keep the TV off and do not answer the phone while dining.
2. Help them with homework (or review homework schedules).
3. Attend their sports event or activity (give positive feedback no matter the outcome).
4. Play card or board games of their choosing.
(Main permainan kbersama mereka
5. Watch a TV program that your kids like.
6. Have a family night out and go to a movie, concert, or play.
7. Exercise together (biking, swimming, tennis, hiking).
8. Volunteer together (serving meals at homeless shelters, building homes for Habitat for Humanity).
9. Do chores together (cooking, dishes, grocery shopping, housework, gardening).
10. Drive them whenever possible and let them listen to their radio station.
11. Have bedtime talks where you just sit and listen and let your children speak.
12. Read together. If there is a book everyone wants to read (i.e. Harry Potter), each person can take turns reading aloud.
13. Share a hobby together or take an active interest in your child's hobby.
14. Go on a family vacation and let the kids get involved in the planning.
15. Every day, tell them you love them. Also, give a compliment or positive remark about something they've done.

Semoga panduan ini bermanafaat untuk kita bersama....

Friday 23 July 2010

Air Mata dan Mata Hati

Dalam banyak keadaan, susah juga bagiku untuk mengalirkan air mata perempuanku. Mungkin hatiku agak keras.... Ya Allah lembutkanlah hatiku, supaya aku dapat menundukkannya kepadaMu sebagai hambaMu ya Allah.... Lembutkanlah hatiku untuk meningkatkan amalku keranaMu....

Namun ada ketika dan masa tertentu, hati perempuanku mudah sangat tersentuh. Pagi tadi semasa melihat anak-anak sekolah mempersembahkan pentomin bagaimana kasarnya anak terhadap ibunya, air mataku tergenang di kelopak mata, namun dapat ku tahannya daripada mengalir....(maklumlah duduk di tempat VIP)..

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda, “Ada dua buah mata yang tidak akan tersentuh api neraka; mata yang menangis karena merasa takut kepada Allah, dan mata yang berjaga-jaga di malam hari karena menjaga pertahanan kaum muslimin dalam [jihad] di jalan Allah.” (HR. Tirmidzi [1639], disahihkan Syaikh al-Albani dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi [1338]).

Semoga aku tergolong dalam golongan itu, bukan hanya menangis atas sebab2 lain. Untuk itu, perlulah punyai hati yang bersih untuk mendapat panduan dan hidayah Allah....


Mata Hati
Artist: Hijjaz
Song Category: Nasyid

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau terlalu bersih
Pandangannya kan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah
Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

Tuesday 29 June 2010

AUDIT AMAL : SETENGAH TAHUN SUDAH BERLALU

Alhamdulillah kita telah sampai ke pertengahan tahun 2010. Telah berlalu 6 bulan. Banyak perkara-perkara besar telah dapat dilaksanakan; setakat mana keberkesanan atau jayanya.... perlu kepada refleksi.

Persoalan:

Kalau kita kaitkan dengan KPI, setakat mana pencapaian kita dalam:

1. Amal : Berapa peratus peningkatan amal soleh kita? (boleh diukur?) Adakah solat kita berkualiti, tahajud, dhuha, puasa sunat, sedekah jariah, hubungan kita dengan ibu dan bapa, muayasyah kita sesama manusia, buruk / baik sangka kita terhadap orang lain dan seumpamanya...

2. Kualiti kerja kita : Amanahkah kita menjalankan tugas, kerja2 yang dilakukan apakah ada kelemahan atau kekuatannya. Di mana perlu ditambahbaik? Di mana perlu lebih tumpuan?

Mari kita muhasabah diri....

MUHASABAH CINTA

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

Wednesday 2 June 2010

BULAN "REUNION"

Alhamdulillah telah berlalu 3 reunion yang melibatkan kami sekeluarga dalam bulan Mei 2010 ini. Pertemuan-pertemuan yang dirancang untuk mengeratkan semula tali silatur rahim yang bukan terputus.....

1 Mei 2010 di Tangkak

Pertemuan suamiku dengan kawan-kawan lamanya dari Muar High School. Dalam pertemuan yang banyak mengimbau kisah-kisah zaman persekolahan, zaman remaja dulu. Ucapan ringkas dari setiap yang hadir, menyatakan kedudukan terkini diri sendiri dan keluarga, persembahan multimedia kenangan lama, solat berjemaah berimamkan imam yang dulu. Ada di antara mereka yang hampir mengalirkan air mata mengenangkan kisah silam dan sukanya dapat bersua kembali. Maklumlah di peringkat umur begini... Entah dapat bersua lagi atau tidak......

22 Mei 2010 di Teluk Intan

Kali ini pertemuan aku dengan kawan-kawan di SMK Convent Teluk Anson (ketika itu), sekarang ni Teluk Intan. Kami namakan reunion Asconventa (Asrama Convent Teluk Anson). Dah ku coretka serba sedikit dalam posting lepas.

29 Mei 2010 di Harvard Suasana Hotel Sg Petani

Ini adalah pertemuan anak-anak muda lepasan GEMS bersama suamiku yang merupakan Site Manager, selama 2.5 bulan. Mereka dilatih dan didedahkan dengan berbagai modul menyediakan diri mereka supaya lebih berpeluang mendapat kerja, dan kebanyakan mereka yang hadir, sudahpun bekerja, Alhamdulillah... Baru setahun mereka keluar dari latihan ini. Perjumpaan ini untuk mengetahui perkembangan masing-masing. Disamping itu, pihak pengurusan boleh mendapatkan maklumat tentang keberkesanan program latihan yang telah mereka jalani.


Semoga ada sesuatu yang bermanafaat hasil semua pertemuan yang telah berlangsung....


Monday 24 May 2010

PERJUMPAAN YANG BERSEJARAH JADI KENYATAAN






Alhamdulillah hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Dengan izin Allah, kami semua dipertemukan semula setelah 33 tahun berlalu.

Aku masih ingat hari terakhir kami di asrama convent berhadapan dengan TNB (masa tu LLN) selepas habis kami menduduki MCE 1977. Kami bersalaman, berpelukan dan menangis kerana akan berpisah dan membawa haluan masing-masing selepas itu. 6 tahun kami bersama mengharungi pengalaman manis dan pahit, kami membesar bersama. Dari zaman keanak-anakan sehinggalah kami mencapai umur pradewasa.Meniti usia remaja kami bersama, belajar, berkebun, bermain, makan dan minum dan macam-macam aktiviti lagi.

Banyak sungguh kenangan kami bersama, memang tak tercerita... Di hujung minggu mengemas asrama, bergotong royong, lepak-lepak sambil berbalas pantun....

Pada tarikh yang dijanjikan 22 Mei 2010 bertempat di Hotel Angsoka Teluk Intan berkumpullah 27 orang kami bersama "ibu" (warden asrama) Datin Kasma Aini. Berjumpa seorang demi seorang teman-teman ku. Ada yang memang ku kenal secara terus, ada beberapa orang yang lambat sikit aku mengecamnya dan ada yang sukar ku sebut namanya dek kerana perubahan wajah mereka.

Alhamdulillah, berkat usaha teman-teman mencari dan mengumpulkan semuanya, dapat juga kita bersama pada hari itu. Teman terakhir dijumpai dua hari sahaja sebelum tarikh perjumpaan, Masya Allah...

Semoga bertemu lagi, Insya Allah

Monday 10 May 2010

HARI IBU 2010 - KASIH IBU SEPANJANG MASA






Doa Hari Ibu dari Nuha.
Jazakumullahu khairan atas segala doa dan ucapan Hari Ibu dari Maimanah dan Khansa', dari teman-teman jauh dan dekat, Kek Mak's Day dari Azim dan Along sekeluarga. Semoga diberkati segala amal kita membina keluarga cemerlang dunia dan akhirat.

Wednesday 14 April 2010

DI AMBANG PERTEMUAN....


Nukilan salah seorang dari kami yang telah mengharungi hidup bersama 6 tahun di alam menengah. Menghabiskan masa remaja kami bersama dengan seribu kenangan.

Terimalah...

Kelopak kuntum 28(catatan sebuah perjalanan)

Tirai `72
Dari entah mana-mana
Kita hadir di satu daerah
Dalam keterasingan – membina cita dan harapan
Kita jatuh dan bangun bersama
Kita susah dan senang bersama
Kita suka dan duka bersama

Lalu….
Kelopak kuntum 28
Kembang mekar di taman persahabatan
Di situ,
Ada gurau …. yang memukau
Ada rajuk ……..yang dipujuk
Ada riang………. yang masih terngiang
Ada marah……… yang bernokhtah
Ada keakraban….. yang digenggam
Kitapun matang di titian usia dan rencah kehidupan

Tirai `77..berlabuh
Kelopak kuntum berterbangan
Memecah haluan membina kehidupan
berjauhan di jarak dan waktu
Ada kelopak yang berguguran….innalillah…
di tidurnya yang panjang
titipkan Al-Fatihah
Moga mimpi indah di Barzakh
Dan kita juga pasrah

2010 datang menyuluh
dan….
dari …….. mana-mana
kita singgah lagi di satu daerah
subhanallah…..disatu keajaiban
kelopak kuntum bertautan
memecah kerinduan



muhaini hashim
keramat AU
01 april 2010

Tuesday 13 April 2010

KUNJUNGAN KASIH ANAK-ANAK




Sebaik menerima sms dari Ukhti Latifah menyampaikan hasrat anak-anak Karisma untuk menziarahi keluarga kami, kami cuba mencari ruang masa untuk mereka. Alhamdulillah, tarikh dan masa telah ditetapkan, di celah-celah program yang memang agak ketat.
Jumaat malam memenuhi hasrat ibu tersayang untuk berkumpul semua adik beradik di Chenderong Balai bersempena majlis tahlil untuk ayahanda kami yang telah menemuiNya. Tercapai hasrat ibu, senyum menyambut ketibaan semua anak-anaknya; 7 orang. Kelihatan macam orang sihat, hilang segala kesakitan badannya melihat anak-anaknya di depan mata. Itulah kasih seorang ibu....

Tidak sampai hati aku meninggalkannya untuk menemankan suami mesyuarat d Kuala Lumpur pagi Sabtu. Puas membuat pertimbangan....

Balik dari KL bersedia pula menyambut ketibaan anak-anak Karisma pagi Ahad.(Mereka ini kebanyakannya sebaya umur dengan anak-anak kami). Alhamdulillah, kunjungan yang ringkas tetapi bermakna; komen salah seorang anak Karisma ini.

Pertemuan dimulakan dengan taaruf oleh semua yang hadir; berakhir dengan taaruf oleh tuan rumah. Seramai 23 orang kesemuanya yang dapat bersama. Tuan rumah (Hj Rashid) memperkenalkan diri dan keluarga juga penglibatan dalam kerja-kerja dakwah; seterusnya memberi serba sedikit pesanan dan motivasi kepada anak-anak ini.

Aku pula menambah dan banyak menyentuh peranan wanita sebagai suri rumah tangga, ibu dan pendakwah yang berkerjaya.

Harapan kami, agar anak-anak ini nanti akan meneruskan risalah ini yang diwarisi dari para anbia'. Menelurusi jalan-jalan yang bukan dihiasi dengan kecantikan dunia, tapi jalan jauh yang penuh dengan mihnah dan tribulasi. Namun, itulah jalannya. Semoga anak-anak terus istiqomah dan thabat.....

Sunday 24 January 2010

BELAJAR DARI ALAM


Kisah kura-kura

Semasa lawatan kerja baru-baru ni, sebelum melawat ke SMK Petra Jaya di Kuching, kami singgah di Muzeum. Aku sempat meninjau kolam kura-kura di akuarium sebelah muzium. Terhenti sebentar melihat gelagat salah seekor kura-kura memanjat tebing kolam yang agak curam tapi tak lah tinggi...

Gigihnya makhluk ini memanjat membuatkan aku menarik perhatian dua orang temanku utk memerhatikannya juga. Beberapa kali cubaan memanjat, setelah sampai ke atas, melurut ke bawah; namun ia tidak berputus asa; cuba dan cuba untuk naik. Cubaan terakhirnya, alhamdulillah berjaya setelah tersangkut jua tempurungnya pada batu di atas tebing, dipautkan kakinya mencengkam batu di atas.

Kegigihannya boleh di ambil pengajaran bagi orang-orang yang ingin mengambil pengajaran....





Saturday 16 January 2010