Alhamdulillah dapat kiriman gambar-gambar nostalgia dari Aween dan Usayd yang meninjau jejak-jejak kami di Sheffield. Kami ditemukan di Sheffield dengan aktiviti-aktiviti membina ketrampilan dan sahsiah disamping tugasan utama sebagai pelajar. Memang tidak dapat dilupakan kenangan di sana.
71 Barber Road merupakan pusat kegiatan kami semasa bujang. Kami berempat ketika itu (Gg, Nomi, Watie dan saya). Projek menjahit saprah bersulam, memasak kuih untuk dijual pada hari Jumaat di Islamic Center (Severn Road), projek menjahit pakaian wanita, pusat penjagaan anak (bagi ibu-ibu yang memerlukan), pernah menjadi pusat penjagaan anak dan ibu yang masih dalam pantang (teman yang bersalin, suami telah pulang bertugas di tanah air), khidmat mengandam (teman yang melangsungkan perkahwinan) dan lain-lain.
Alhamdulillah, kerjasama dan ukhuwwah yang kami bina membolehkan kami bergerak terus memberi perkhidmatan percuma.
15 Filey Street, Sheffield
15 Filey Street merupakan pusat kegiatan kami yang tidak kurang aktif. Premis ini digunakan oleh pelajar-pelajar Malaysia turun temurun. Kegiatan usrah, perjumpaan-perjumpaan lain diadakan disini. Menurut Usayd, sekarang juga masih didiami oleh orang Malaysia.
Di sinilah kami memulakan hidup berkeluarga. Rumah ini didiami oleh dua keluarga. Sekiranya ada keluarga baru sampai belum mempunyai rumah sewa, mereka akan menumpang di sini. Banyak jasa rumah ini.
Setiap waktu subuh, suamiku biasanya akan ke Islamic Center menunaikan solat berjemaah bersama teman-teman senegara dan dari negara-negara Arab.
Di sini juga along Nazihah dibesarkan sehingga berumur 8 bulan ketika kami pulang ke tanah air.
Semoga kenangan-kenangan ini menghangatkan lagi semangat juang kami, Insya Allah.
Kepada anak-anak yang masih muda, jangan persiakan masa mudamu. Aktifkan diri, carilah pengalaman sebanyak mana yang boleh. Manafaatkan sepenuhnya kudrat muda yang Allah kurniakan.