Friday, 7 October 2011

PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA

Anak-anak calon PMR sedang berada dalam minggu peperiksaan. November nanti anak-anak SPM dan STPM pula akan menghadapi giliran mereka. Memang tidak dapat dinafikan, ramai ibu, bapa dan guru lebih gementar dari anak-anak yang menduduki peperiksaan. Semuanya mengharap anak-anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang.

Walau apa pun, ibu, bapa dan guru tidak wajar memberi tekanan yang hebat kepada anak-anak semata-mata untuk keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ada ibu atau bapa yang tidak mahu menandatangani slip laporan peperiksaan anak kerana pencapaian tidak memuaskan.

Mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan, "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Falsafah yang cantik ini akan menjadi lebih cantik sekiranya dapat direalisasikan.

"Usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaniberdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan", membawa maksud bukan hanya dinilai di dewan peperiksaan sahaja. Anak-anak dibentuk untuk menjadi insan yang seimbang dan harmonis dalam aspek-aspek yang disebutkan itu sepanjang masa di sekolah, di rumah dan di mana sahaja. Jika ada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan (menanamkan tauhid kepada Allah), peribadi dan tingkah laku mereka akan terkawal dan terarah. Justeru, akan terbentuklah peribadi-peribadi seperti yang disebutkan di atas.

Pesanan saya kepada diri sendiri dan teman-teman ibu dan bapa serta guru-guru supaya tidak kecewa jika pencapaian akademik dalam peperiksaan anak-anak tidak seperti yang diharapkan. Banyak lagi ruang untuk menjadikan anak-anak kita menjadi orang yang bernilai tinggi dalam masyarakat dan lebih penting bernilai tinggi di sisi Allah s.w.t.

Biarlah mereka dibesarkan dalam keadaan yang normal, sesuai dengan naluri remaja mereka; namun dengan panduan dan tunjuk ajar yang baik penuh kasih sayang dari kita.


No comments: