Tuesday, 2 August 2011

RAMADHAN - BULAN PENDIDIKAN

Sebahagian nota yang sempat saya catat semasa program Halaqah Qaseh pada 6Ramadhan 1432 bersamaan 6 Ogos 2011 di Surau An Nur. Penyampaian oleh Ustaz Syazali Herman. Walaupun kehadiran tidak berapa ramai (lebih kurang 30 orang) tetapi sesi interaktif bersama Ustaz sangat baik dan bermanafaat bagi semua.

Utamakan solat

Pertama sekali ustaz ingatkan tentang kita mengutamakan solat 5 waktu. Dalam mengajar anak-anak berpuasa kita memang banyak memberi penekanan kepada puasanya, kadang-kadang kita tidak meneliti solatnya. Apakah mereka telah solat? Bagaimana kualiti solat mereka?

Kita beri ganjaran sekiranya anak-anak ini dapat berpuasa penuh, tapi apakah ganjaran sekiranya mereka solat penuh 5 waktu, atau teguran sekiranya mereka meninggalkan solat.

Budaya bersedekah

Bersedekah bukan hanya mengeluarkan wang ringgit diberikan kepada orang yang memerlukan. Menyediakan makanan untuk orang berbuka posa dan bersahur merupakan sedekah, memberi nasihat yang baik juga sedekah. Budaya bersedekah di sepanjang Ramadhan mesti dihidupkan dan ada cadangan duit raya disampaikan semasa Ramadhan.

Tarawih, menutup aurat dan merapatkan saf

Ustaz menyentuh tentang permasalahan menutup aurat, tarawih, merapat saf. Ketika keluar rumah untuk mengerjakan solat tarawih di masjid atau di surau, hendaklah memastikan menutup aurat dengan sempurna. Tidak memakai pakaian jarang dan ketat. Ketika solat berjamaah hendaklah merapatkan saf.

Berdoa sebelum buka puasa

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu
berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak.”
(Riwayat Ibn Majah)

Waktu berdoa adalah sebelum berbuka puasa,waktu sahur dan digalakkan banyakkan istigfar

Kelebihan beramal pada akhir Ramadhan

Menyediakan suasana dan keadaan yg menggalakkan ibadah 10 hari akhir ramadhan, suasana orang-orang membaca quran bukan suasana yang ghairah menyambut hari raya.

Sekian sedikit perkongsian, semoga ada manafaat dari nota ini, Insya Allah.Selamat beramal dan mengejar malam Lailatul Qadar


Sunday, 19 June 2011

SELAMAT HARI BAPA

Selamat hari Bapa khusus untuk suami tercinta yang sama-sama membesarkan 5 orang anak kita. Segala usaha dan tunjuk ajar membesarkan mereka dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang, walaupun dalam kesibukan dalam pelbagai urusan.

Semoga Allah terus memberi kekuatan......


1st Time Father








Friday, 17 June 2011

CIKGU SEPANJANG HAYAT... DAH MATI PUN CIKGU JUGA

Allah memberi kesempatan kepada kami pada malam itu untuk mengunjungi seorang teman anak kami di Sungai Mati, Muar. Sambil-sambil bertanya khabar juga berkongsi pengalaman bertugas sebagai houseman di hospital.

Kami dilayan baik oleh ibu dan bapa sahabat ini. Bapanya memulakan cerita yang beliau dan isteri baru pulang dari majlis "reunion" murid-muridnya di Port Dickson. Beliau yang telah berumur hampir 70 tahun dengan penuh emosi menceritakan bagaimana anak-anak murid lamanya balik berkumpul dan meraikan beliau. Mereka balik ke tanah air dari beberapa negara luar hanya untuk berkumpul dan meraikan guru mereka. Kata guru pencen ini, ucapan murid-muridnya menceritakan kisah-kisah lama dan penghargaan yang mereka berikan membuatkan dia dan isteri sangat terharu. Semasa bercerita, nampak tergenang air matanya. Bagaimana seorang guru yang sangat bangga menceritakan kepada kami tentang penghargaan yang diberi oleh murid-muridnya.

Begitulah bagaimana bangganya seorang guru apabila jasanya yang tak seberapa dihargai oleh murid-muridnya. Mereka menyediakan / menyewa satu bilik khas untuk guru mereka dan isterinya (juga seorang guru pencen).

Menurut kata cikgu berkenaan, itulah kualiti murid-murid dulu yang pandai menghargai guru-guru mereka.

Murid-murid zaman sekarang bagaimana?
Bagaimana pula penghargaan kita kepada guru-guru kita?

Ada orang kata guru seperti lilin membakar diri menerangi orang lain. Betul ke?
Saya macam kurang setuju dengan pernyataan ini, kerana:

1. "to teach is to learn twice". Maksudnya seorang guru itu akan meningkatkan dirinya dari segi ilmu apabila dia membuat persediaan untuk mengajar.
2. kalau guru itu membakar dirinya umpama lilin, apa pulak yang ada lagi pada dirinya untuk diberikan kepada murid-muridnya?
3. guru perlu "upgrade" diri sendiri untuk terus dapat menymbang dengan berkesan membina agama, negara dan bangsa. Dalam dunia ICT yang pesat berkembang ini, guru-guru juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran ICT. Media maya boleh digunakan untuk penyebaran ilmu.

Ada juga yang berpandangan guru seperti matahari yang menyinar. pernyataan ini lebih "power"

Apa-apapun terima kasih cikgu..

Monday, 30 May 2011

JANGAN MATI SEBELUM MATI

2 tahun yang lalu, semasa saya mencari-cari bahan dalam internet tentang time management, saya terjumpa kisah seorang profesor hebat Randy Pausch. Saya mengikuti video beliau menyampaikan ceramahnya sampai habis dan saya muat turun ceramah beliau. Kini, semasa saya mengemaskan fail2 dalam laptop, saya terjumpa lagi video berkenaan. Saya pernah berkongsi video ini kepada guru-guru di sebuah sekolah ketika saya memberikan ceramah Headcount.

Siapakah beliau yang saya maksudkan. Professor Randy Pausch (Oct. 23, 1960 - July 25, 2008) ialah pensyarah University Carnegie Mellon yang didapati mengidap barah pankreas yang kritikal dan doktor menyatakan bahawa beliau hanya mempunyai beberapa tahun sahaja lagi untuk hidup. Namun, profesor gigih ini dalam ceramahnya menyatakan bahawa beliau tidak akan berceramah tentang kematian, tetapi beliau akan berkongsi bagaimana meneruskan hidup yang berkualiti.

Dalam caramahnya Pausch menghuraikan tentang pengajaran yang beliau dapat dalam kehidupan dan memberi nasihat kepada penonton bagaimana untuk mencapai tujuan hidup dan kerjaya.

Di antara petua yang beliau kongsi adalah:

1. Berusaha bersungguh2 untuk mencapai impian masing-masing. Kita akan dapat pengalaman jika kita tidak mencapai apa yang kita impikan.
2. Cadangkan anda untuk memilih ibu bapa yang baik. (boleh pilih ke?) Maknanya kitalah kena jadi ibu atau bapa yang baik atau memilih calon isteri atau suami yang boleh menjadi ibu atau bapa yang baik.
3. Manusia atau Barang : maksudnya tidak mengorbankan harga diri atau emosi anak-anak hanya kerana mereka membuat kesilapan; contohnya anak memecahkan gelas,jangan dimarah, sebaiknya diberi penjelasan bagaimana gelas itu boleh pecah dan ajak anak itu sama terlibat membuang kaca itu.
4. Jadikan kehidupan kita sesuatu yang menyeronokkan (sentiasa fikir positif)
5. Kerja dan berinteraksi secara baik dengan semua orang. Sentiasa berterus terang, meminta maaf dan bersabar. Juga biasakan diri berterima kasih dan menghargai orang lain
6. Banyak merungut dan komplen tidak akan menyelesaikan masalah.

Saya kongsikan juga salah satu video ceramah Profesor Randy Pausch.

Semoga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah benar ini.

Monday, 16 May 2011

HARI GURU, HARI MURABBI : JASAMU DIKENANG

Baru saja rakyat Malaysia menyambut Hari Ibu, tiba pula Hari Guru. Kedua2 hari ini melibatkan diri saya, Ibu Guru.....

Secara semulajadinya, memang ibu adalah guru pertama bagi anak-anak. Sejak dari dalam kandungan, ibu menyediakan suasana persekitaran yang baik bagi anaknya. Anak diperdengarkan dengan bacaan al Quran dan ibu sepatutnya mengawal emosinya semasa mengandung. Pembentukan ini boleh dianggap proses pengajaran kepada anak ini. Siapa gurunya? Ibulah guru itu...

Sebelum anak ke Tadika, ibu juga yang mengajar anak di rumah. Walaupun pembelajaran formal berlaku di Tadika dan Sekolah, ibu juga perlu mengajar anak cara bergaul dengan adik beradik, sepupu, ibu dan bapa dan lain-lain.

Saya masih ingat guru-guru saya di sekolah rendah. Guru kelas cikgu Zainiah, cikgu Zuraidah, cikgu Shamsudin, cikgu Jamaludin, cikgu Arshad, ustazah Salmiah dan ramai lagi. Guru di sekolah menengah, cikgu Chan, cikgu Sabariah, Sister Hyacinth, cikgu Jamilah, cikgu Khadijah, Pn Tham, Pn Ang, Pn Sharida, Pn Yee dan ramai lagi.

Beberapa peristiwa berjumpa guru

1. Pada tahun 1997, semasa saya sedang menunggu giliran untuk berwudhu' di padang Arafah, saya terperasan seorang jamaah haji yang saya kenali. Untuk mendapat kepastian, saya menghampirinya dan bertanya, "Ni ustazah Salmiah ke?" Dalam keadaan tertanya2 dia menjawab "ya, saya".. Saya pun memperkenalkan diri, muridnya ketika sekolah rendah dahulu. Nampak terharu dan gembira wajahnya. Kami pun terus berbual sementara tiba giliran. Sejak itu, saya tidak bertemunya lagi; tak tau keadaan beliau sekarang.

2. Suatu ketika lain, saya balik kampung dan pergi berurusan di sebuah bank di Teluk Intan. Saya berjumpa dengan ustaz Saim. Saya menegurnya. Dia menyahut sapaan saya "Ini Azizah ke Alauyah ni... di mana kamu sekarang? dah berapa orang anak?" Mukanya nampak ceria dan puas hati melinat kejayaan anak muridnya.

3. Di Taman Dato S M Nor Batu Gajah (semasa taman ini masih beroperasi), saya, suami dan beberapa orang anak bersiar-siar melihat sekitar taman. Nampak di tepi bangunan, sepasang suami isteri yang agak senior sedang duduk berbual. Saya memerhatikan dari jauh, seolah-olah mengenali pasangan ini. Ya, mereka adalah Mr dan Mrs Yee. Mrs Yee adalah guru Add Maths kami semasa d tingkatan 4 dan 5 di SM Convent Teluk Intan. Saya mendekati beliau, memperkenalkan diri dan bertanya khabar. Nampak gembira wajah cikgu ini apabila muridnya masih mengenali beliau.

4. Pada suatu hari, kami masuk ke USM melalui pintu utama. Kelihatan seorang pensyarah bersama beberapa orang pelajat sedang berbincang di tepi padang di kawasan meletak kereta. Saya minta suami memperlahankan kereta untuk mengecam pensyarah berkenaan.Tepat sangkaan saya, beliau adalah Miss Moira Tan guru PJ kami ketika sekolah dulu. Semasa saya mengidap chicken pox, beliaulah yang menghantar saya balik ke rumah mak di Chenderong Balai. Beliau adalah seorang guru yang sangat akrab dengan murid-muridnya


Kepada semua guru-guru yang telah mengajar saya, dari darjah 1 sehingga ke tingkatan 6 rendah (sekejap) SELAMAT HARI GURU, JASAMU TETAP KU KENANG

Saturday, 7 May 2011

HARI IBU SEPANJANG MASA

Doa untuk ibu dan bapa



"Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)”

SELAMAT HARI IBU BUAT MAK TERCINTA. Pengorbananmu tidak ternilai seisi dunia. Lembut wajahmu mendidik kami sehingga kami 7 beradik menjadi kami seperti hari ini. Kejayaan kami adalah hasil didikanmu dan bapa; membesarkan kami tanpa kenal erti jemu

Banyak hasil didikan dan tunjuk ajarmu yang kini kami gunakan untuk mendidik anak-anak kami pula. Engkaulah contoh seorang ibu yang mempunyai daya juang yang tinggi, kau akan berusaha sedaya upaya demi kesejahteraan anak-anakmu.

Terima kasih mak dan arwah bapa......

Saturday, 9 April 2011

Fatamorgana

Artist: Hijjaz
Song Category: Nasyid

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi

Deras arus dunia menghanyutkan yang terleka
Indah fatamorgana melalaikan menipu daya
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapa pun kan tergoda
Harta, pangkat dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi
Pulanglah kepada Tuhan cahaya kehidupan
Keimanan ketakwaan kepadanya senjata utama

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati
Yakinkan janji Tuhan syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba
Hidup akhirat kita kekal bahagia

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah
Allah

Teruskan perjuangan