Monday, 8 June 2009

MUSIM KONVO DAN CABARAN PEKERJAAN


Setiap kali majlis konvokesyen diadakan, nampaknya semua ahli keluarga dan teman-teman mengucapkan tahniah. Beli hadiah bunga dan macam-macam lagi. Semuanya merupakan kenangan manis, meraih hasil setelah beberapa tahun berpenat lelah dan bersusah payah dengan ujian demi ujian, assignment, kerja projek dan lain-lain.

Setelah konvo mahasiswa2 kena fikirkan cabaran-cabaran kerjaya dan kehidupan seterusnya. Alam pekerjaan memerlukan komitmen yang tinggi juga. Ada di kalangan mereka setelah konvo masih tidak bekerja. Ada pula yang lebih murah rezeki, belum konvo dah bekerja... Semuanya bergantung kepada kelayakan yang mereka perolehi; sama ada dari aspek pilihan kursus atau merit pencapaian mereka; juga tidak dinafikan ketentuan Allah.

Musim krisis ekonomi melanda dunia, mendapat pekerjaan merupakan suatu cabaran. Berfikir secara proaktif, anak-anak yang bakal menjejakkan kaki ke universiti dan pusat pengajian tinggi perlu diberi pendedahan yang seluas-luasnya tentang prospek pekerjaan yang mereka akan ceburi nanti, bermula dengan pemilihan kursus di IPT. Itulah salah satu faktor yang akan menentukan alam pekerjaan mereka. Pengalaman berinteraksi dengan beberapa graduan muda yang belum mendapat pekerjaan tetap; ada yang mengaku tersalah pilih kursus. "Kalau saya ambil kursus A pun tak per...." keluh seorang daripada mereka.

Namun, rezeki ada di mana-mana. Luas bumi Allah ini. Mereka perlu meneroka dan mencari peluang mendapatkan kerja, tidak terlalu memilih. Setelah mendapat tempat kerja, berilah komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan masing-masing. Sesungguhnya sikap seseorang terhadap apa jua pekerjaan yang dilakukan adalah merupakan faktor penting untuk menentukan dia adalah pekerja cemerlang. Ramai teman-teman yang merupakan Ketua-ketua Jabatan merungut tentang sikap dan perilaku pekerja mereka.

Saturday, 30 May 2009

SURPRISE!

Pagi Jumaat seperti biasa kami mengadakan majlis bacaan surah Yasin di pejabat. Setelah selesai, aku terus ke bilik pejabatku untuk meneruskan tugasan yang banyak perlu diselesaikan. Baru membelek-belek fail, seorang teman masuk ke bilik ku meminta sahkan salinan sijil anaknya. Kemudian, kami berbincang agak panjang tentang urusan kerja.

Habis perbincangan, aku teruskan kerja untuk seketika. Aku perlu pula turun sebentar untuk urusan pejabat di tingkat bawah, sambil-sambil melihat apa lagi surat-surat yang ada dalam pigeon hole.

Naik semula dengan menyelesaikan beberapa urusan lain. Analisa data, proses permohonan sekolah untuk program latihan mereka, reviu perancangan setengah tahunan dan macam-macam.

Sedang aku kusyuk membuat kerja-kerja tadi, Koyamah muncul depan pintu bilikku....
"Puan, ada hadiah....." Masya Allah satu jambangan bunga dengan teddy bear bertulis "I love you" di dadanya. Terkejut juga aku....Birthday? bukan...Ogos nanti. Wedding Anniversary? belum, Julai nanti. Hari Guru? Hari Ibu? dah lepas.....

Baca kad yang dilekatkan pada jambangan tu..... Baru teringat, hari tu along ada tanya alamat pejabat. Rupanya dia nak bagi surprise. Terus sms along "Thanks 4 d surprise.:)" Along jawab "Hope it's not too late, btw everyday is mother's n teacher's day. Glad u love it.. :)"

Terima kasih buat along di atas surprise ini.......



Wednesday, 27 May 2009

PERGINYA SEORANG GURU (MUALLIMAH)













Hatiku tersentuh amat bila menerima sms menyatakan dia telah pergi. Terbayang wajahnya yang penyabar, lembut dan berprofil rendah (sesuai dengan namanya Sabariah).

Seingat aku, beliau didiagnos mengidap penyakit itu, tidak lama setelah majlis konvokesyen musleh di Kuala Lumpur.

Beliaulah yang mengajar anak-anakku semasa di sekolah Islah Sungai Petani. Ketika anak-anak kami serahkan di bawah jagaan guru-guru di sekolah dan di asrama, merekalah yang memainkan peranan mencorakkan anak-anakku; secara tidak langsung sebagai pengganti ibu dan ayah. Tiga daripada lima anak-anak kami mendapat sentuhan kasih darinya.

Along mencoretkan dalam e melnya:

Salam,

Cikgu Sabariah mengajar Along BM dulu masa darjah 6, dan masa form 1 waktu Along 'turun sekejap' untuk ambil UPSR. Walaupun sekejap tapi she's among my favourite teacher. Dia adalah cikgu yg bukan hanya mengajar tapi mengasuh dan mendidik.. still remember, kami (along, asyiah, k.emy dll) selalu jumpa dia utk consult & minta pendapat.

She's a great teacher yang tak pernah penat dan jemu mendidik. Kami tak pernah dengar dia bersungut walaupun kepada murid2.. jasanya tak pernah kan padam dari ingatan dan sanubari..

Semoga Allah cucuri rahmat dan maghfirah ke atas roh Muallimah Sabariah, dan tempatkan rohnya di kalangan orang bertaqwa..

Along Nazihah


Sebenarnya, aku memang tidak pernah sempat melawat allahyarham ketika sakit. Namun berpeluang suatu hari bertemunya ketika allahyarham akan di bawa untuk rawatan ke hospital. Sempat aku bersalaman dengannya dan mendoakan agar Allah memudahkan urusan beliau. Jelas terbayang raut mukanya yang pucat ketika itu, dan ungkapan katanya yang sangat lemah, " Kak Zah, doakan untuk saya ya, semoga dimudahkan sat lagi....."




Muallimah Sabariah, Semoga rohmu bersama para syuhada' dan Allah berikan kesabaran kepada anak-anakmu yang ditinggalkan, Amin.......




Monday, 4 May 2009

PENGALAMAN BERHARGA


Tiba-tiba telefon ku berbunyi. Panggilan dari Tuan PPD bos ku. Fikir ku apa pulak yang penting membuatkan dia menefonku hari Ahad cam ni. Rupa-rupanya minta aku menggantikannya hadir ke sidang Dewan Undangan Negeri petang esoknya (Isnin 27 April)

Fikiranku merancang apa yang patut ku lakukan. Pagi Isnin tersebut aku akan hadiri mesyuarat di Balik Pulau. Aku perlu balik segera ke pejabat, solat zuhur terus ke Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang semula sebelah petang jam 2.30. Aku mendapat maklumat bahawa petang itu adalah sidang terakhir.

Setelah solat zuhur, aku segera memandu ke DUN. Tiada tempat untuk aku parking.... Ku lihat banyak kereta yang parking di tepi jalan hadapan DUN. Aku pun tekad letak kereta di celah-celah kereta yang ada di situ. Tak kan depa nak saman kut, fikirku.

Aku kemudian ke laman Dewan Undangan Negeri, terpinga-pinga tak tahu ke mana nak dituju. Lalu aku ke pondok pengawal memperkenalkan diri sebagai wakil Jabatan Pelajaran. Pengawal meminta Kad pengenalan dan diberinya pas KETUA JABATAN. Aku sebenarnya mewakili Pengarah Pelajaran Negeri.

Masih awal ketika itu. Aku meninjau-ninjau pintu mana harus ku masuki nanti. Sedang aku meninjau, aku ternampak beberapa ahli DUN dari Kerajaan Negeri (PR) dan juga pembangkang (BN). YB Malik, YB Hilmi, YB Sim dan beberapa orang lagi...

Masuk ke dalam dewan, aku mencari tempat duduk khas yang disediakan wakil-wakil jabatan. Di tempat duduk kudapati telah tersedia beberapa dokumen termasuk senarai usul yang akan dibahas dan diluluskan petang itu. Ku lihat tempat duduk di kiri dan kanan ku kosong. Tiada wakil dari PERDA (kanan) dan Polis (Kiri).
Di kawasan tempat duduk ADUN, ku lihat Ketua Menteri sibuk bersedia untuk persidangan nanti. Tiba-tiba semua orang bangun, aku turut bangun. Rupanya Tuan Speaker masuk dewan.

Persidangan petang itu dimulakan. Aku hanya memerhatikan gelagat ADUN-ADUN dalam dewan. Ada ADUN yang dapat berhujah dengan matang, ada yang menimbulkan isu remeh temeh....

Setelah dua usul diluluskan, sidang berehat untuk minum petang dan solat Asar. Waktu solat jumpa dengan YB Johara dalam surau.

5.30 petang sidang disambung dengan meluluskan satu usul lagi. Sidang ditangguh pada jam 6.40 petang.

Alhamdulillah, aku pulang ke rumah dengan satu pengalaman baru, walaupun sangat meletihkan.....

Sunday, 12 April 2009

AKHIRNYA JADI KENYATAAN


Dah lama aku sebut nak buat bengkel bina blog. Akhirnya ia menjadi kenyataan, hari ini pada 12 April 2009.

Mulanya, aku chat dengan akhi Budiman blogger Warna Nostalgia. Dia komen blog JIM PP yang ku bina. Kata ku, aku buat blog dalam kesibukan tugas harian (maklumlah pegawai kanan di pejabat). Dan ku nyatakan padanya aku mempunyai blog peribadi juga dan ingin untuk berkongsi dengan sahabat2 lain untuk mengajar mereka bina blog sendiri. Tujuan untuk mengasah bakat menulis dan menggunakan medan ini sebagai medan dakwah.

Alhamdulillah, melalui chatting kami di celah-celah kesibukan kerja, keluarga dan sebagainya, kami nekad untuk terus mengadakan bengkel ini. Aku memohon panduan daripada teman2 dalam jimedia yahoogroups. Ternyata, aku mendapat panduan dan petua yang sangat berguna dari sahabat2 jimedia.

Hari ini seramai 19 orang dapat kami kumpulkan untuk "kick off" bengkel ini. Target kami hari ni adalah supaya setiap yang hadir mempunyai blog masing2. Dan Alhamdulillah, kami mencapai target....

Seronok baca blog yang mereka hasilkan. Insya Allah bengkel seperti ini akan diadakan secara berkala. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami, Amin.....

Aku pulang ke rumah pada hari ini dengan hati yang gembira, puas.....

Monday, 6 April 2009

MEMUPUK BUDAYA ILMU

Dulu-dulu biasa kita dengar orang tua berkata, anak dara walau setinggi mana belajar pun, akhirnya di ceruk dapur juga.....

Namun, manakan sama orang yang di ceruk dapur tu orang yang berpelajaran dengan orang yang tidak berpelajaran. Seorang ibu yang berpelajaran tahu bagaimana memupuk budaya ilmu kepada anak-anaknya. Juga dapat membantu anak-anaknya dalam memahami pelajarannya di sekolah; walau pun dia sebagai suri rumah sepenuh masa.

Orang tua juga berkata, tangan yang menggoncang buai bisa menggoncang dunia. Peranan ibu adalah sangat penting untuk membina keluarga yang berilmu. Suatu hari dalam perjalanan balik dari kerja, saya mendengar radio IKIM menemuramah ibu, bapa dan guru kepada pelajar cemerlang SPM 2008. Ibunya menceritakan bagaimana gigihnya anak ini berusaha dan mengulangkaji pelajaran disertai dengan doa dan munajat kepada Allah. Amalannya berpuasa dan solat hajat. Ibunya berkata, setiap kali dia terjaga di waktu malam, anak ini dilihat sedang solat tahajud.


Manakan lahir anak begini kalau persekitarannya tidak merangsangnya untuk menjadikan dirinya sedemikian. Pastinya sedikit sebanyak, ada peranan yang dimainkan oleh ibu dan atau bapanya, guru-gurunya.

Terharu juga saya mendengar kata-kata tawadhu' dari ayahnya. Ayahnya mengatakan bahawa beliau tidak layak menasihati bapa-bapa lain dalam mendidik anak; namun, selepas itu apa yang diperkatakan merupakan kata-kata nasihat. Beliau menyebut bahawa seorang bapa perlu menggunakan perkataan yang baik kepada anak-anak ; seperti "bertuah", "bijak"

Saya juga membaca sebuah buku yang kami beli dari Makassar, Doktor Cilik Hafal Quran.
Anak berumur 6 tahun telah menghafal Quran hasil didikan ayahnya. Bukan setakat menghafal, malah apabila ditanya tentang perkataan tertentu, di mana boleh didapati dalan al Quran, dia dapat memberikan jawapan yang tepat. Perbualannya adalah ayat-ayat al Quran. Sekali lagi, anak begini memang akan lahir dalam keluarga yang mengamalkan amalan itu. Ayah dan ibunya juga berbicara dengan menggunakan ayat-ayat Quran.

Kesimpulannya, ibu terutamanya (kerana dia yang selalu mendampingi anak-anak) dan bapa berperanan memupuk budaya ilmu dalam diri anak-anak. Namun, tanpa ilmu, ibu dan bapa itu tidak dapat juga melakukannya. Oleh itu, ibu dan bapa hendaklah meningkatkan ilmu mereka dan seterusnya amalan mereka.


Saturday, 14 March 2009

BANGKIT KEMBALI



Beberapa bulan berlalu, blog ini tidak sempat disentuh. Kesibukan aktiviti harian dan tugas di pejabat tidak membenarkan saya menulis. Eh... Sebenarnya, kalau hendak seribu daya kan......


Selepas Ramadhan sibuk dengan persediaan menerima menantu. Majlis telah berlangsung dengan selamatnya selepas Hari Raya Haji yang lalu.


Kemudian, kami dikejutkan dengan pemergian seorang kawan yang banyak memberi motivasi dan sekali gus berperanan untuk membawa saya ke kedudukan sekarang. Beliau yang rapat dengan anak-anak buahnya. Kami yang berkhidmat dengannya merasa selesa dan senang bila berurusan dengannya. Dia pergi tanpa siapa pun menjangka. secara tiba-tiba; lantas memberi peringatan kepada kami bahawa Allah akan menjemput seseorang pada bila-bila masa.


Seterusnya pemusafiran kami ke Makassar, seolah-olah merehatkan kami dari urusan pekerjaan. Menghadiri Majlis Wisuda (Konvokesyen) anakanda Maimanah sambil melawat beberapa tempat di sana, sambil melihat kemajuan yang telah dicapai oleh mereka.


Balik semula ke tanah air, bermulalah urusan-urusan persediaan persekolahan Syaimaa' memasuki alam persekolahan menengah. Urusan di pejabat dengan berbagai rencam dan ragam.


Seterusnya masa berlalu, anak-anak dengan progres masing-masing. Usayd akan berangkat ke London bersama Aween. Selamat berangkat; semoga permusafiran ini dapat rahmat dari Ilahi, semoga mereka dapat memanfaatkannya, menjadikan ia permusafiran yang berkat, dunia dan akhirat.